Halaman

GMOYZSTUDIO

Jumaat, 30 September 2022

Wakaf mampu sumbang pembangunan sosioekonomi negara

Semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyemarakkan amalan berwakaf serta mempromosikannya sebagai antara sumber kewangan sosial Islam dalam usaha memperkasakan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata usaha itu seiring langkah kerajaan yang bersetuju menjadikan Ramadan setiap tahun sebagai Bulan Wakaf bagi memperkasakan wakaf di seluruh negara.

Beliau berkata, ia sejajar pelancaran Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan pada April tahun lalu oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kerajaan kini menjadikan wakaf sebagai salah satu instrumen yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

"Agensi kerajaan dan swasta turut melihat amalan wakaf amat membantu dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Ini berikutan pelbagai inisiatif wakaf yang dibangunkan boleh menjadi perintis kepada usaha pembaharuan, penambahbaikan dan pengukuhan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 bertema 'Wakaf, Mensejahterakan Keluarga Malaysia', yang disiarkan secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta universiti awam sudah bergerak seiring dalam usaha memberi kesedaran dan membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Antara usaha sedang dilaksanakan JAWHAR, tahun ini, ialah menerbitkan beberapa buku yang membincangkan secara khusus berkaitan wakaf. Antaranya, Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf hasil kerjasama JAWHAR bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Ia juga merangkumi penerbitan Perakaunan Aset Wakaf di Malaysia hasil kerjasama JAWHAR dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran yang membabitkan kerjasama JAWHAR dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Beliau menjelaskan, amalan berwakaf bukan perkara asing, sebaliknya sudah dilaksana dan dimanfaatkan masyarakat sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

"Begitu juga di luar negara, wakaf terbukti dapat menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan negara dalam sektor ekonomi, pendidikan serta kesihatan.

"Sebagai contoh, Universiti Al-Azhar di Mesir menjadi ikon peranan wakaf dalam masyarakat. Universiti itu ditadbir sepenuhnya daripada sumber wakaf, dan terus maju serta berjaya menghasilkan cendekiawan disegani seantero dunia," katanya.

Malah, Idris berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut meliputi 10 strategi membabitkan peranan wakaf, seperti menggalakkan sistem kewangan yang mampan dan inklusif serta memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf.


Dipetik daripada:

https://wazan.upm.edu.my/artikel/wakaf_mampu_sumbang_pembangunan_sosioekonomi_negara-67964

Sabtu, 4 Mac 2017

LENGKUAS, HALIA, KUNYIT

Assalamualaikum

Sedikit luahan hati setelah beberapa kali terserempak dengan teka-teki LENGKUAS, HALIA, KUNYIT, yang ditujukan kepada lelaki, dengan soalannya, kalau tanya lelaki, ketiga-tiga bahan tersebut, nescaya lelaki gagal menjawabnya dan kalau jawab pun, hanya satu sahaja jawapan yang betul.

Kepada LELAKI DAN PEREMPUAN di luar sana,

Ya, LELAKI DAN PEREMPUAN, kau ingat lelaki je ada yang tak tahu yang mana satu lengkuas, halia, kunyit.

Perhatikan gambar kat bawah ni dengan teliti, yang keliru mungkin akan cakap, ketiga-tiga bahan kat bawah adalah Kunyit, atau ketiga-tiganya halia, atau lengkuas.


Macam mana nak tahu?

Kalau zaman sekarang senang, tanya pakcik Google. Tapi sebenarnya, pada pendapat aku, kau kena alami sendiri untuk pengetahuan ni melekat dalam kepala kau sampai bila kau nyanyuk nanti pun mungkin kau akan dapat jawab kalau cucu-cucu kau tanya.

Maksud aku, kau kena rasa dan tengok secara fizikal bahan-bahan tu sendiri. Kalau nak lagi melekat, kau belajar lah memasak, dari situ kau tahu apa fungsi bahan-bahan kat atas buat kepada masakan kau dan InsyaAllah, kau akan ingat sampai bila-bila.

Itulah, masa kecik-kecik dulu, mak kau masak kat dapur kau dok layan tv tengok Mighty Morphin Power Rangers, Masa tu pulak Power Rangers Hijau dok tiup seruling panggil robot dia, lagilah kau melekat kat depan tv tuh, kau main masak-masak pasir kat luar rumah, katanya buat sambal tumis daun rambutan campur ranting kayu, sampai sekarang pon kau dok ingat ranting kayu tu halia, kau dok main kahwin-kahwin dengan Siti, anak jiran sebelah yang sampai sekarang kau tak berani ajak kahwin betul-betul. Kalau ikut mak ayah kau pegi beli barang pulak kau hanya ingat nak barang kau je, mainan, coklat, dan gula-gula.

Dapur untuk perempuan.

Kepala lutut kau, pemikiran macam tu, tak patut ada dah, kau tengok tukang masak terkemuka dunia, ramai kot lelaki, tukang masak tempatan kegemaran aku, mestilah Chef Wan, dan chef lain, macam Gordon Ramsey dan Jamie Oliver.

Masa kau hidup membujang sebelum kau kahwin nanti, kau tahulah macam mana nikmatnya bila tahu serba sedikit cara nak memasak. Paling tidak pun kau tau macam mana nak goreng ayam/ikan gaul kunyit, dan kau tahu macam mana nak tanak nasi. Goreng/rebus telur tak kira, tapi kalau kau tak reti jugak nak goreng/rebus telur tak tahu lah nak cakap macam mana lagi.

Aku takdelah pandai sangat memasak, setakat tahu yang biasa-biasa. Tapi dengan yang biasa-biasa nilah sekurang-kurangnya, aku boleh cam yang mana Halia, Lengkuas dan Kunyit.

Jawapannya;
Kiri, Lengkuas
Tengah, Halia
Kanan, Kunyit

"APA-APA PUN SEMUA TANGAN AKU DAN DIA YANG BIKIN"

Ahad, 26 Februari 2017

#MenulisKembali

Assalamualaikum.

Sudah 2 tahun rupanya tak kemaskini blog ni. Jujurnya, alasan yang boleh diberi adalah tak sempat. dari tahun lepas lagi terfikir nak menulis semula. Tapi, apakan daya, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, hanya terfikir sahaja, tidak mampu melaksanakannya. Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran bila ingin mula menulis.

Biasanya blog Tanganku Bukan Tanganmu ni, tempat untuk aku berkongsi gambar-gambar yang aku ambil sambil bercerita apa yang aku lalui. Tapi semenjak media sosial seperti Mukabuku dan Gramsegera semakin menjadi interaktif, dan senang untuk berkongsi gambar sambil bercerita, laman blog ini, semakin hari semakin dilupakan.

Jadi hari ni, sebagai permulaan baru blog ni, InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya untuk mengemaskini, paling kurang sebulan sekali. Untuk entri pertama tahun 2017 ni, aku kongsikan salah satu gambar Gramsegera aku kat korang, dan sedikit cerita dan ulasan disebalik gambar tersebut.


Kat atas ni gambar yang paling terkini dimuat naik dekat Gramsegera aku, masa ni dah selesai majlis perkahwinan sahabat baik aku sejak sekolah menengah. Dia tawarkan kepada aku jawatan untuk jadi tukang kipas dia masa majlis tersebut. Pertama kali pegang jawatan tersebut. Bisanya aku jadi tukang ambil gambar, Orang kata kalau dah jadi tukang kipas pengantin ni, tak lama lagi sampai giliran sendiri pulak untuk dikipas.

Shazril & Lynn


Tambahan pula, bila aku balik kampung minggu lepas untuk melaksanakan tugasan sebagai jurugambar di majlis sahabat aku kat atas tu, dan beramah mesra dengan keluarga, mulalah mak sedara-mak sedara dan bapak sedara-bapak sedara menyakat aku. Biasalah, aku rasa semua sahabat-sahabt aku yang belum berkahwin turut menghadapi situasi yang sama, iaitu mereka bertanyakan bila nak kahwin. Kalau aku, diorang tak tanya macam tu, diorang akan tanya spesifik, memandangkan kerja sambilan aku adalah jurugambar kahwin, ini soalan dia;

"Bilo ore nok ambik gambar mu pulok? Asyik mu jah ambik gambar ore."

Lebih kurang macam tulah situasinya. Jawapan aku, biasalah, "InsyaAllah, sama-sama doakan." dan disertakan ketawa kecil. Aku tak marah pun bila diajukan soalan sedemikian, lagi suka kot.

Cukuplah kot, panjang jugak aku membebel. Jadi akhir kata,

"APA-APA PUN SEMUA TANGAN AKU DAN DIA YANG BIKIN"


Rabu, 28 Januari 2015

PERCUTIAN KE SEMPORNA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Ini adalah entri yang pertama tahun 2015, justeru itu selamat tahun baru kepada semuanya. Lama sangat tak update blog (puii, baru 3 bulan jer), rasa macam malas gila nak tulis. Tapi untuk entri pertama 2015 ni, nak kongsi sedikit berkenaan percutian 5 hari 4 malam ke Semporna, Sabah.

Alhamdulillah, akhirnya setelah 25 tahun hidup di bumi Allah S.W.T., berjaya menjelajah ke semua 13 negeri di Malaysia. Wilayah Persekutuan, tinggal Labuan sahaja yang belum berkesempatan singgah.

Jadi, berkenaan percutian di Semporna, ianya diatur pada bulan 9 2014, dan turut bersama adalah 4 orang sahabat, 2 orang darinya ialah penduduk asal Semporna, jadi, kami tinggal di rumah mereka sepanjang 5 hari 4 malam di sana.


Pemandangan dari atas kepala sungai Kinabatangan

Rabu, 8 Oktober 2014

RAYA HAJI 2014

Assalamualaikum dan selamat menyambut Hari raya Aidiladha, dan selamat menunaikan haji kepada seluruh umat Islam yang menunaikannya.

Raya haji tahun ini tak sama dengan tahun lepas, di mana tahun lepas mak dan ayah pergi menunaikan haji di Makkah, jadi tahun ni, beraya bersama mereka lah. Tahun ni juga, ibadat korban dilangsungkan di tempat yang sama seperti tahuan-tahun sudah yakni di rumah atok.

2 ekor lembu dikorbankan tahun ni. Agak ganas sedikit salah seekor lembu yang dikorbankan tahun nih, namun Alhamdulillah, kedua-duanya disembelih tanpa ada sesiapa ditendang mahupun ditanduk lembu tersebut. Suasana meriah sebab ramai ahli keluarga besar ada bersama.

Dan seperti biasa tak sah kalu setiap entry tidak disertakan bersama gambar. Assalamualaikum... ;)


Mak sedara jadi model sat